Rindu datang lagi...

Salam kawan-kawan!

Hari ini, beberapa tahun yang lalu, I telah kehilangan seseorang yang sangat disayangi dalam dunia ini. Seseorang yang I bergantung hidup ini padanya ~ sejak dilahirkan sehinggalah dewasa. Hanya dengan nasihat yang diberinya I bergantung nasib melalui kehidupan ini dan mengharapkan kasih-sayang yang tidak pernah berbelah-bahagi. 

Bila direnung kembali kini, benarlah kasihnya pada diri ini tidak mungkin sama dengan kasihnya I pada dirinya. Tak mampu dibandingkan, tak mampu diumpamakan dengan apa jua yang ada di dunia ini.

Walaupun telah dua dekad meninggalkan dunia ini, kenangan padanya tak pernah luput dari ingatan. Setiap kali teringat padanya, hanya alfatihah yang mampu terukir di bibir dengan penuh rasa rindu di hati. Mana mungkin yang pergi akan kembali. Mana mungkin hati yang merinduinya ini mampu diubati...

Perginya tak akan kembali, rindu yang menggamit hanya mampu dibiarkan tersemat di hati selama hidup dikandung badan. Moga bertemu kembali di pengakhiran nanti...

'Bak', panggilan yang cukup kerap diucapi bibir ini tatkala meniti usia; dari kecil sehingga remaja, dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa, dari tak tahu apa-apa sehingga tahu selok-belok pahit manisnya kehidupan di dunia!

Dulu... dulu-dulu lamanya, bila bersendirian selalu aje I terfikir bagaimana hendak mengharungi sebahagian lagi hidup bila tiba masanya harus berpisah dengan ibu atau ayah. Saat itu bila terbayang situasi yang mungkin harus ditempuhi, air mata bergenang sambil hati berdetik, 'Tak mungkin aku boleh melalui kehidupan ini tanpa mak atau bak...'!

Tak terbayang dek akal fikiran sambil tidak berhenti-henti mendoakan agar kedua ibubapa dipanjangkan umur agar mampu bersama-sama melihat kami adik beradik membesar dan hidup bahagia bersama keluarga masing-masing.

Hidup di dunia, tidak selalunya indah bukan?

Apa yang kita harapkan, tidak selalu dimakbulkan olehNya...

Tanggal 6 Oktober, 1998, tepat pukul 1.30 pagi, pada usianya 67 tahun, Bak pergi meninggalkan kami - isteri dan anak-anaknya yang ramai. Pergi menghadap Ilahi. Pergi buat selama-lamanya. Pergi tak akan kembali lagi.

Katanya mati itu pasti, tapi mengapa sukarnya hati untuk menerima ketentuan Ilahi? 

Kenapa harus ditangisi? Kenapa harus diratapi?

Tidak redhakah kami dengan ketentuan ini bila kurang tabah menghadapi dugaan diberi atau kerana mengenangkan betapa baiknya seorang umat manusia yang kami gelarkan 'Bak' ini?

Lebih terasa sebaknya hati apabila tidak mampu menatap wajah Bak di saat akhir hayatnya. Sebaik sampai di perkarangan rumah, hanya mampu melihat sekujur tubuh yang sudah kaku.

Tiada lagi susuk tubuh berdiri di pintu menanti kepulangan anak-anak. Tiada lagi senyuman manis dan gelak ketawa gembira saat melihat anak-anak kembali ke rumah tempat kami membesar. Tiada lagi nasihat tentang kehidupan. Tiada lagi kedengaran nada marah apabila kami melakukan kesilapan. Tiada lagi keterujaan 'membeli-belah' di pasar demi menyediakan makanan kegemaran setiap anak! 

Semuanya tinggal kenangan saat melihat sekujur tubuh yang telah kaku...

Berkali-kali menyapu air mata yang membasahi pipi sambil mengharapkan ianya sekadar mimpi!

'Mimpi' yang sebenarnya kenyataan yang harus ditelan sepanjang hidup ini!

Bak, walaupun sudah lama Bak pergi meninggalkan kami, tak pernah sekali pun kami melupai Bak! Nama Bak, rupa Bak, sikap Bak tetap terpahat kuat dalam hati, tak pernah sekali pun pergi meninggalkan kami.

Kami sayang Bak ketika masih ada hayat dan kami  tetap sayangkan Bak walaupun kini kami tak mampu menatap wajah Bak lagi. Namun, kami tetap merasai 'kehadiran' Bak dalam hidup kami; 'membimbing' kami melalui kehidupan yang fana ini.

Bak, kalaulah masih ada hayat sehingga kini, tentu sekali Bubbly Abang dan Adik Cute akan menjadi kesayangan Bak. Bak amat sayangkan Norin, betul tak? Tentu anak-anak Norin pun akan menjadi cucu kesayangan Bak juga. Kasihannya mereka kerana tak dapat merasai kasih-sayang seorang datuk yang terbaik di dunia ni macam Bak. Ajal maut di tangan Tuhan. Kita sebagai manusia tak mampu memilih waktunya. Sudah itu yang ditakdirkan, haruslah diterima walaupun pahitnya bertahun lama dirasa. 

Minggu lalu kami pulang ke kampung. Anak kesayangan Bak ini sempat mengutip segala gambar-gambar konvokesyennya yang tergantung di dinding rumah kita Bak. Sayang dibiarkan tergantung dalam rumah kita yang semakin usang. Ngah tolong turunkan dan simpan untuk diberi pada adiknya ini.

Di antara frame yang ada, termasuklah gambar kita berempat - Bak, Mak, Norin dan arwah abang...

Anak-anak tak kenal siapa Bak. Mereka cuma tahu Bak adalah 'Daddy kepada Mommy'!. Tapi bila ditunjukkan gambar Bak dalam frame lama, Adik Cute terus berkata...

Itu Atok Baklah!

Norin rindu sangat ni pada Bak...

Alfatihah!













Comments

  1. Sebak! sedih bila baca.. insan yang akan di rindui sepanjang hayat...rindu yg tidak akan ada penghujung... pernah melalui nya jg MD.. Al-Fatihah :(

    ReplyDelete
  2. terus sedekahkan al Fatihah ye MD...semoga arwah dibariskan bersama orang2 yang beriman...
    mmg sesekali rindu bertandang lagi...

    ReplyDelete
  3. Sebak sy baca kak.... rindu yg tidak ada penghujung nya. Al-fatihah.
    Insyaallah satu masa nnti akan bertemu di alam yg kekal abadi.

    ReplyDelete
  4. Semakin lama orang yang kita sayang pergi semakin sarat rindu yang di tanggung kan MD.Nampaknya MD lebih awal 10 tahun kehilangan ayah dari akak.Ayah akak meninggal 2008 juga secara mengejut.Umor ayah akak lebih kurang dengan bak MD.Apapun sama2 lah kita doakan bapa2 kita yang telah pergi ditptkan dikalangan org beriman.
    p/s MD baca blog akak ,ada msg dari boss warung bistro.

    ReplyDelete
  5. Alfatihah...sedihnya saya baca hampir berguguran airmata..memang ini adalah kerinduan yang tak terubat, kalau boleh memang mahu mak dan ayah bersama kita sepanjang hayatkan...sedihlah bila saya teringat saat2 sakit bersalin tanpa mak disisi..nanti saya datang lagi, nak cari tisu kejap

    ReplyDelete
  6. Airmata kakak tumpah MD sebab kakak terus teringat almarhum bapak kakak yg baru pergi sebulan lebih. Memang sebak dan rindu bercampur-baur bila ingat pada org yg kita sayang sudah tak ada lagi..

    Mengharap ia mimpi tapi sudah pasti tak mungkin terjadi.

    Alfatihah buat almarhum ayahanda kita.

    ReplyDelete
  7. Allahu, alfatihah buat ayah MD. MD pun panggil Bak ke? my late father in law pun kami panggil Bak. MD asal mana ni?

    ReplyDelete
  8. Semoga roh Bak berbahagia di sana bersama doa yang dikirimkan anak-anak tercinta.

    ReplyDelete
  9. Innalillah.. setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

    saya pun tak pasti kuat mana saya utk tempoh hari begini..

    Semoga semuanya dimudahkan.

    ReplyDelete
  10. Saya ni belum pernah lagi alami saat kehilangan org paling disayangi. Tapi membaca entri MD ni buat saya rasa sayu pilu dan sebak. Seolah-olah diri sendiri pula yg mengalaminya.

    Alfatihah buat arwah Bak MD dan seluruh keluarga kita yang terdahulu meninggalkan kita.

    Kalau rindu sedekahkan doa moga2 rohnya tenang di sana!

    ReplyDelete
  11. MD berjaya buat kolam air mata saya bertakung sekejap. Saya teringat pada arwah ibu yang sudah hampir 13 tahun meninggalkan saya yang tanpanya buat hidup saya juga jadi tidak menentu ketika remaja. Sukar membuat keputusan dan selalu terpaksa berdikari. Dan sekarang, saya pula teringat abah kat kampung. Saya selalu berasa insecure sebab saya tahu abah saya juga akan pergi mengikut jejak arwah ibu.. dan tak tahulah samada saya cukup kuat utk menghadapi kehilangan kedua dlm hidup ni..

    ReplyDelete
  12. Alfatihah untuk arwah Bak.....
    Begitulah lumrah kehidupan ini Kak Ton, yg hidup akan mati. Tak mungkin kita akan sentiasa bersama sama orang yg kita sayang selamanya....

    Alangkah baiknya kalau orang yg bernama abah atau bak dapat bersama sama menikmati kehidupan kita sekarang kan Kak Ton. Tapi itu cuma perancangan kita.....

    *Pergh!! Entri kali ni mcm novel weyh....bahasa puitis bersambung sambung ....



    ReplyDelete
  13. Al fatihah untuk arwah Bak. Moga beliau tenang dan damai di sana. Nani setakat ni paling terasa kehilangan arwah kaki dan makcik yang terdekat. Pernah sampai satu masa, bila terlalu rindu air mata memang akan mengalir sampai rasa masa tu juga nak ke kubur diorang.

    ReplyDelete
  14. semoga roh nya dicucuri rahmat.

    ReplyDelete
  15. ala..sedihnya baca.tak sanggup bayang apa rasa kalau Abah saya dah takde nanti. Dah lah kitorang ni selalu x sependapat..huhu

    ReplyDelete
  16. Lama dah bak MD pergi ye..
    Dah hampir 18 tahun..
    Mahu tak rindu..
    CH yg baru setahun ni pun..
    Rasa rindu yg amat sangat..
    Wlpn arwah abah sempat menikahkan CH kahwin..
    Dan melihat anak2 CH..
    Namun masih belum berasa puas..

    Kita doakanlah mereka..
    Sejahtera disana..
    Al fatihah..

    ReplyDelete
  17. Sedihnya baca entry MD...
    Semoga arwah bak MD damai disana..
    Xdpt bayang mcm mana melalui perasaan itu.. 😞

    ReplyDelete
  18. innalillah..smoga roh arwah dicucuri rahmatnya..aamin

    ReplyDelete
  19. al-fatihah.
    sama lah saya.. semtiasa ingat arwah adik walaupon sudah 4 tahun berlalu. rania pon x sempat berkenalan dgn arwah pak ngah iye. arwah adik suka budak2..

    ReplyDelete

Post a Comment